Aplikasi Prinsip Teori Pembelajaran Ausubel Dalam Bilik Darjah
1-Persembahkan maklumat umum tentang sesuatu topic sebelum memberikan contoh khusus dan membincangkan perincian topik berkenaan.
2-Gunakan bahan-bahan penyampaian pengajaran yang ada kaitan dengan pengetahuan sedia ada pelajar atau pembelajaran lepas.
3-Bantu pelajar membuat perbandingan maklumat baharu dengan maklumat atau dengan pengetahuan sedia ada.
4-Beri maklumat dalam bentuk yang sesuai dengan keupayaan pelajar untuk membolehkan pelajar memahami pembelajaran baharu, jika pelajar tidak ada pengetahuan terdahulu yang berkaitan dengan pembelajaran baharu.
5-Susun atur penyampaian pengajaran dan pembelajaran secara sistematik, langkah demi langkah serta gunakan bahan serta laras bahasa yang sesuai dengan peringkat umur pelajar.
6-Sediakan dan gunakan alat bantu mengajar yang konkrit; sesuai dengan tahap pemikiran pelajar untuk membantu pemahaman pelajar serta penyampaian guru.
Aplikasi Prinsip Teori Pembelajaran Kohler Dalam Bilik Darjah
Kohler menyarankan bahawa kebolehan mental (celik akal) juga terdapat pada manusia yang membolehkan pelajar mempelajari perkara-perkara baru.
Implikasi teori Kohler yang terpenting ialah guru perlu menggalakkan pemikiran celik akal di kalangan pelajar.
Bagaimana Guru Boleh Menggalakkan Pemikiran Celik Akal Murid? Guru mesti menggunakan perbendaharaan kata yang jelas, mudah difahami dan dibantu dengan gambar, audio serta pengalaman langsung pelajar dalam pengajarannya. Perkara yang hendak disampaikan mestilah mudah difahami.
Soalan dan rangsangan yang diberi mesti sesuai dengan tahap kognitif dan perkembangan pelajar.
a) Pelajar mesti dapat membuat tanggapan dan pemgamatan sepanjang pelajaran.
b) Contoh yang digunakan mesti bersesuaian dengan perkembangan dan tahap pengalaman pelajar.
Pengajaran mesti disampaikan selangkah demi selangkah dan mengikut urutan kesinambungan yang padu.
Proses ini lebih berkesan jika guru memberi banyak contoh yang khusus, dan pelajar cuba membuat generalisasi yang betul.
Guru tidak boleh memberi terlalu banyak penerangan tetapi perlu memberi panduan dan bimbingan dalam proses pemikiran celik akal.
Guru perlu menggalakkan pemikiran kritikal dengan memastikan pelajar:
a) Mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas.
b) Berfikiran terbuka
c) Dapat membuat rumusan.
Guru boleh menggalakkan keinginan menyoal dan perasaan ingin tahu pelajar dan proses mempertimbangkan kelemahan dan kekuatan fakta.
Jika sesuatu bahan pelajaran terlalu susah, guru perlu memudahkan bahan tersebut supaya pelajar dapat memahami bahan itu.
Untuk menyenangkan lagi pemahaman pelajar, guru perlu mengajar mata pelajaran tertentu mengikut langkah-langkah yang kecil dan tersusun.
Jika tugasan di sekolah terlalu susah, dan peneranga guru tidak jelas, pelajar tidak dapat mencapai celik akal.
Gagne menggunakan teori pembelajaran behavioris dan kognitif untuk mengkategorikan kedayaan pembelajaran ke dalam lima kelompok utama, iaitu kemahiran kecerdasan (intelektual), strategi kognitif, maklumat berbahasa, kemahiran motor dan sikap.
Mengikut Gagne 1974, terdapat susunan urutan pelbagai kemahiran kecerdasan dan tiap-tiap satunya adalah syarat mutlak untuk menguasai sesuatu kemahiran sebelumnya. Kemahiran kecerdasan pertama dalam pembelajaran diskriminasi iaitu membezakan simbol-simbol. Setelah menguasai kemahiran ini, barulah dapat membentuk konsep.
Dalam pembelajaran konsep, murid mestilah membuat diskriminasi antara unsure, kemudian mengelas dan membahagikan unsur itu dalam kumpulan untuk membentuk hukum. Misalnya hukum ketumpatan sesuatu benda menunjukkan perhubungan antara konsep jisim dengan isipadu.
Oleh itu, kemahiran kecerdasan membolehkan seseorang 'mengetahui bagaimana' hendak melakukan sesuatu tindakan dan bukan hanya semata-mata 'mengetahui apa' keadaan yang wujud. Ini bermakna kemahiran kecerdasan meliputi pelbagai unit maklumat berbahasa seperti fakta, tarikh, simbol dan huraian serta kebolehan menggunakan maklumat itu.
Strategi kognitif pula merupakan kebolehan memproses maklumat yang membolehkan si pelajar memikir, menumpukan perhatian, memilih, mengingat dan menggunakan maklumat.
Perolehan kemahiran motor membolehkan seseorang melakukan pergerakan kordinasi dalam aktiviti fizikal. Walau bagaimanapun, perkembangan dalam kemahiran motor juga memerlukan pemikiran dan penguasaan kemahiran kognitif.
Misalnya, sama ada dalam aktiviti sukan atau bermain muzik, seseorang memerlukan kemahiran fizikal dan kecerdasan. Sikap seseorang pula mempengaruhi tindakannya terhadap sesuatu perkara, peristiwa atau orang lain. Ini berkait secara langsung dengan perasaan, tingkah laku, minat dan kesediaan pembelajaran pada seseorang pelajar.
Kemahiran kecerdasan Kemahiran menggunakan simbol untuk berkomunikasi, menjalankan manipulasi dan menyelesaikan masalah.
Dalam suatu ladang ternakan, terdapat 20 ekor itik, 45 ekor ayam, 22 ekor lembu, 56 ekor kambing dan 2 orang pekerja. Berapakah bilangan kaki di ladang itu?
Diskriminasi Dapat membezakan antara dua objek atau simbol.
Dapat membezakan antara bentuk bulat dengan bujur dan p dengan q.
Konsep Mengenalpasti sekumpulan idea, objek atau peristiwa yang mempunyai cirri-ciri yang sama.
Mamalia, tenaga dan atom.
Hukum
Perhubungan di antara sekumpulan konsep.
Hukum Boyle; hukum segiempat tepat, meramalkan kadar tindak balas berdasarkan keadaan sedia ada.
Strategi Kognitif Mencari pendekatan untuk memperbaiki proses pemikiran dan pembelajaran.
Menggunakan satu cara (misalnya, peta konsep) yang berkesan untuk meningkatkan ingatan maklumat kompleks.
Maklumat berbahasa Menggunakan simbol, label dan fakta untuk menyampaikan erti sesuatu pengetahuan.
Menyebut nama anggota-anggota ASEAN.
Kemahiran motor Tindakan yang melibatkan manipulasi dan kordinasi fizikal.
Menulis, berenang dan bermain badminton.
Sikap Corak mempamerkan tingkah laku atau tindakan.
Memilih untuk menyertai persatuan sains dan menolak kelab muzik.
Selain daripada kategori kedayaan pembelajaran, Gagne (1977) juga mengemukakan lapan syarat pembelajaran(jenis pembelajaran) menurut hierarki kemahiran kecerdasan. Syarat pembelajran tersebut ialah :
Syarat didepan adalah syarat mutlak menguasai jenis pembelajaran kemudian. Misalnya untuk menguasai jenis pembelajaran 5, syarat 1,2,3 dan 4 mesti dikuasai dahulu. Berikut adalah huraian ringkasan lapan jenis pembelajaran mengikut kesukarannya:
1- Pembelajaran Isyarat Pembelajaran Isyarat berlaku secara semula jadi & tidak sengaja.
Ia adala hasil tindak balas ransangan luar. Individu mempelajari gerak balas terhadap sesuatu isyarat. Dalam peringkat ini, kemahiran prasyarat yang perlu dimiliki oleh seseorang individu ialah dapat merasai pelbagai ransangan dan bergerak balas kepada ransangan. Pembelajaran adalah melalui pelaziman tingkah laku, contohnya; apabila pelajar mendengar loceng sekolah berbunyi pada pukul 10.00 pagi, mereka mengetahui bahawa masa rehat telah tiba, keadaan ini berlaku kerana pelajar telah dilazimkan dengan bunyi loceng dan masa rehat. Oleh itu ransangan positif akan menyeronokkan pembelajaran dan ransangan negatif boleh mendesakkan pembelajaran.
2- Pembelajaran ransangan – tindak balas Dalam pembelajaran gerak balas proses peneguhan penting dan perlu dititiberatkan. Pembelajaran jenis ini juga berlaku disebabkan tindak balas terhadap ransangan luar. Akan tetapi pelajar itu telah memperolehi tindak balas yang khusus terhadap ransangan yang dikenalpastikan. Dengan perkataan lain, tindak balas dalam pembelajaran berupa diskriminasikan terhadap ransangan betul atau salah. Tindakan ini adalah 'terlazim'. Bahkan pelajar dapat bertindak balas terhadap ransangan luar mengikut kehendaknya. Contohnya, guru memberi peneguhan kerana kerja tulisan Fifi semakin kemas dan baik, untuk mengekalkan tingkah laku ini, oleh itu Fifi akan cuba menulis dengan lebih baik lagi untuk mendapat pujian gurunya.
3- Pembelajaran melalui rangkaian Rangkaian bermaksud penggabungan beberapa ransangan yang menghasilkan tindak balas dalam suatu turutan . Pembelajaran rangkaian digunakan dalam pembelajaran kemahiran seperti penulisan, permainan, muzik dan sebagainya. Rangkaian merupakan satu siri tingkah laku yang berkaitan untuk melengkapi tugasan yang dijalankan. Sebagai contohnya, untuk melihat suatu objek yang jauh dengan menggunakan binokular, rangkaian motor berlaku apabila memegang binokular di hadapan mata, menuju binocular itu kearah objek itu dan menyesuaikannya untuk memfokus dengan jelas. Pengajaran kemahiran dari satu peringkat boleh dibawa ke peringkat yang seterusnya. Contohnya; seorang guru yang mengajar bola jaring perlu mengajar beberapa rangkaian kemahiran kecil seperti :
Kemahiran menghantar bola
Kemahiran menerima bola
Kemahiran menjaringkan bola
Kemahiran dan urutan daripada peringkat prtama akan menjadi ransangan untuk turutan yang kedua. Oleh itu, dalam pengajaran rangkaian, guru perlu membuat ulangan supaya kemahiran yang dipelajari dahulu tidak dilupakan.
4- Pertalian bahasa Pembelajaran ini melibatkan bahasa yang mengaitkan lebih daripada satu ransangan untuk menghasilkan tindak balas. Bagaimanapun proses ini memerlukan penggunaan bahasa yang telah dipelajari dahulu. Untuk menyatakan sesuatu prinsip, pelajar memerlukan kemahiran bahasa untuk mengaitkan satu rangkaian berbahasa. Ini berlaku apabila pelajar dapat menghubungkaitkan apa yang dilihat dengan sebutannya. Proses ulangan penting untuk menjamin peneguhan pertalian bahasa.
5- Pembelajaran diskriminasi Dalam pembelajaran jenis ini pelajaran itu dapat membezakan berbagai ransangan yang berupa sama untuk menghasilkan sama banyak tindak balas yang khusus. Demgam perkataan lain dalam satu set pertalian atau rangkaian, jenis pembelajaran semakin dapat dibezakan kerana setiap ransangan dan tindak balas dapat diasingkan dari satu sama lain. Ini bermaksud seorang individu itu sanggup menghasilkan tindak balas yang khusus terhadap ransangan yang berbeza walaupun kecil. Pembelajaran diskriminasi adalah berkaitan dengan cirri-ciri yang jelas pada objek. Contoh pembelajaran diskriminasi ialah pelajar membezakan sejenis haiwan dengan haiwan yang lain seperti reptilia dengan mamalia. Pelajar perlu mengenali ciri-ciri yang membezakan kedua-dua jenis haiwan ini.
6- Pembelajaran konsep Pembelajaran merupakan tindak balas umum terhadap satu kumpulan ransangan yang berbeza-beza dalam bentuk fizikalnya. Guru perlu membimbing pelajar untuk mengenal pasti cirri-ciri tertentu dalam sesuatu konsep yang dipelajari. Pembelajaran konsep hanya boleh berlaku selepas pembelajaran melalui rangkaian pertalian berbahasa dan diskriminasi. Pelajar belajar konsep melalui contoh-contoh yang jelas. Misalnya untuk mempelajari 'mamalia' pelajar perlu mengetahui tentang beberapa cirri seperti bulu, kelenjar susu, gigi dan perbezaannya berbanding dengan sisik dan bulu pelepah.
7- Pembelajaran Hukum Pembelajaran ini melibatkan penggabungan dua atau lebih konsep yang berkaitan dalam sesuatu urutan atau rangkaian. Jenis pembelajaran ini melibatkan penggunaan rumus, prinsip, teori dan generalisasi. Pembelajaran hukum beraras tinggi kerana ia melibatkan pembelajaran konsep, rangkaian dan pertalian bahasa. Sebagai contoh, pelajar membuat soalan matematik yang melibatkan operasi tambah dan operasi darab. Soalan seperti ini melibatkan dua hukum yang berlainan. Penguasaan hukum adalah penting untuk peringkat pembelajaran penyelesaian masalah. Gagne telah memberikan lima prinsip pengajaran hukum :
Memberi maklumat yang betul
Menghuraikan cirri-ciri yang penting dalam sesuatu konsep
Mengajar dan memberi panduan lisan dalampembentukan rangkaian konsep yang berkaitan.
Menyoal pelajar tentang hukum-hukum yang telah dipelajari.
Menggalakkan pelajar supaya menghuraikan hukum-hukum yang telah dipelajari.
8-Pembelajaran penyelesaian masalah Pembelajaran ini melibatkan penggunaan prinsip, rumus generalisasi, konsep dan hukum untuk menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Pelajar perlu menggunakan kaedah penemuan dan membuat penyelesaian sendiri. Ia adalah peringkat pembelajaran yang paling sukar dan kompleks. Semua jenis kemahiran yang telah dipelajari sebelum peringkat ini digunakan dalam proses penyelesaian masalah. Terdapat langkah-langkah yang spesifik dalam proses penyelesaian masalah iaitu :
Mengenal masalah
Mencari maklumat
Membuat hipotesis
Memilih cara menyelesaikan masalah
Menguji hipotesis (melaksanakan pelan penyelesaian).
Membuat rumusan (melihat kembali dan menyemak).
Penyelesaian masalah adalah cara yang paling baik untuk mengajar pelajar kemahiran berfikir.
Teori Bruner mementingkan pembelajaran melalui penemuan bebas atau penemuan berpandu, atau latihan penyiasatan.
Bruner mementingkan aspek-aspek berikut dalam teori pembelajaran beliau :
Ó Cara manusia berinteraksi dengan persekitaran dan pengalamannya.
Ó Perkembangan mental manusia dan pemikiran semasa proses pembelajaran.
Ó Pemikiran secara logikal.
Ó Penggunaan istilah untuk memahami susunan struktur pengetahuan .
Ó Pemikiran analisis dan intuitif.
Ó Pembelajaran induktif untuk menguasai konsep/kategori.
Ó Pemikiran metakognitif iaitu pemikiran mengenai pemikiran.
Ciri-Ciri Penting Pembelajaran Bagi Teori Bruner Ialah :
1- Persekitaran untuk belajar
Pengajaran hendaklah berkaitan dengan pengalaman dan konteks kanak-kanak supaya kanak-kanak berasa ingin dan sanggup belajar semasa masuk sekolah. Pengajaran selanjutnya bergantung kepada cara membangkitkan minat di kalangan murid. Semua kanak-kanak memiliki mekanisme dalaman untuk ingin belajar. Oleh itu, guru mesti menggalakkan mereka melalui pembelajaran penerokaan. Selain itu faktor-faktor persekitaran seperti kebudayaan, motivasi dan prsonaliti mmepengaruhi keinginan kanak-kanak untuk belajar. Di sekolah pula guru perlu mewujudkan situasi pengajaran yang relevan dengan pengalaman dan minat pelajar. Guru perlu menyediakan aktiviti-aktiviti yang menggalakkkan pembelajaran penemuan dan memberi arahan yang berstruktur tanpa menyelesaikan masalah untuk pelajar.
2- Struktur pengetahuan
Merupakan satu kelompok pengetahuan hendaklah dibahagikan mengikut susunan yang mana dipelajari, dengan cepat. Bruner menyatakan bahawa proses pembelajaran lebih bermakna jika pelajar memahami struktur sesuatu isi pelajaran. Beliau mencadangkan pelajar membuat sistem mengkod, iaitu menyusun konsep-konsep yang berkaitan secara hierarki. Sistem pengkodan yang baik diperlukan supaya ransangan yang tertentu boleh dimasukkan dalam kategori-kategori yang sewajarnya. Jika sistem pengkodan ini disusun secara teratur, pelajar dapat memahami ransangan dengan lebih baik. Bruner menyarankan supaya guru menyusun bahan pengajaran dalam cara yang dapat diterima oleh pelajar mengikut tahap kebolehan dan pengalaman mereka. Hubungkaitan yang wujud antara idea-idea yang penting dalam sesuatu mata pelajaran boleh dihuraikan dalam bentuk gambar rajah, prinsip atau rumusan. Guru mesti terangkan konsep alam bentuk perwakilan konkrit, iaitu pelajar dapat melihatnya secara visual dalam bentuk grafik dan gambar. Guru juga perlu menentukan jumlah maklumat yang boleh disampaikan kepada pelajar untuk diproses dan disimpan. Konsep ini dipanggil ekonomi pembelajaran.
3- Urutan
Bahan pengajaran hendaklah disusun mengikut urutan yang cekap untuk disampaikan dalam pengajaran supaya pelajar memahaminya dengan berkesan. Buner menamainya sebagai urutan optimum. Urutan ini mesti mengambil kira kebolehan pelajar untuk memproses maklumat dan dapat mengekalkan minat pelajar dalam pembelajaran. Pelajar belajar mengikut urutan tertentu, iaitu :
a. Pesanan tanpa bahasa
b. Respon anggota badan
c. Gambaran dan lakaran
d. Bahasa
4- Peneguhan
Guru mesti memberi maklum balas terhadap prestasi dan kemajuan pelajar, an masa peneguhan diberikan juga sangat penting. Jika peneguahan diberikan terlalu awal, pelajar akan menjadi keliru. Jika peneguhan diberikan terlalu lewat, pelajar tidak berminat lagi dengan maklum balas tersebut. Bruner juga mementingkan motivasi intrinsic kerana inginkan supaya pelajar menyelesaikan masalah sendiri dengan bimbingan yang diberikan oleh guru.
Peringkat Pembelajaran Dalam Teori Bruner
Mengikut teori perkembangan kognitif Bruner, peringkat pembelajaran berubah dalam tiga turutan iaitu enaktif, ikonik dan simbolik.
Peringkat enaktif berlaku pada usia 0-2 tahun. Peringkat enaktif ialah pembelajaran melalui tindakan manipulatif kerana ia belum lagi melibatkan bahasa. Kanak-kanak dalam lingkungan umur ini menggunakan anggota deria untuk menyelesaikan masalah. Bahan maujud perlu dipegang dan dipergunakan untuk memperolehi pengertian. Misalnya, kanak-kanak kecil menyentuh api untuk mengetahuinya boleh panas an melecurkan ; melontarkan bola untuk mengetahuinya boleh melambung dan berguling.
Peringkat ikonik berlaku pada usia 2-4 tahun. Pada peringkat ini digunakan untuk kanak-kanak yang lebih tua iaitu pembelajaran mencapai peringat sanggup membentukkan penanggapan (persepsi) dan membina gambaran dalam mental. Mereka mempunyai kebolehan mental untuk menggambarkan dan membayangkan sesuatu dalam fikiran dan menyimpan imej dalam fikiran mereka. Contohnya, kanak-kanak boleh melukis gambar sudu tanpa melihat sudu, kerana dia melukis gambar berdasarkan bayangan atau imej yang disimpan dalam otaknya. Kanak-kanak pada usia ini juga dapat membentuk penanggapan dan membina gambaran mental. Contoh, walaupun tanpa menyentuh bahan tajam seperti pisau, kanak-kanak tersebut sudah tahu bahan itu boleh melukakan tangan jika terkenanya.
Pemikiran peringkat simbolik ialah pada usia 5-7 tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak boleh memindahkan pengalaman mereka ke dalam bentuk bahasa. Mereka dapat berfikir secara abstrak dan membuat penaakulan logik. Dalam peringkat pembelajaran simbolik, simbol seperti perkataan, bahasa dan formula dapat digunakan untuk mempersembahkan pengalaman dan menghuraikan penaakulan abstrak. Oleh kerana pembelajaran kanak-kanak berkembang dari peringkat motor-sensori (enaktif) ke peringkat penanggapan konkrit (ikonik), akhirnya ke idea sbstrak (simbolik), maka turutan pengajaran haruslah berkembang sedemikian. Maksudnya, pengajaran dirancangkan untuk mendedahkan kanak-kanak memperolehi pengalaman pada permulaan, kemudian bertindak balas dengan penyampaian konkrit, dan akhirnya persembahan dalam bentuk simbol. Ketiga-tiga proses ini saling berkaitan dan membantu kanak-kanak untuk menyelesaikan masalah. Satu contoh situasi pembelajaran mengikut urutan ini adalah seperti berikut :
Enaktif - Kemahiran berbasikal
Ikonik - Membayangkan cara berbasikal dengan baik
Konkrit - Dapat menceritakan pengalaman berbasikal dalam bentuk
bahasa kepada rakan sebaya.
Prinsip-Prinsip Penting Dalam Teori Pengajaran Bruner
Penguasaan Bahasa
Bruner mengatakan bahawa terdapat dua proses penguasaan iaitu :
1- Subordinat / kompleksif
a) Peringkat ini merujuk kepada penggunaan bahasa yang tidak bercorak konsep atau prinsip untuk kanak-kanak yang mempunyai perkembangan dan kognitif yang rendah.
b) Semakin berkembang pemikiran seseorang, semakin banyak konsep baru yang dikuasainya, jika dia didedahkan kepada keadaan dan situasi yang menggalakkan perkembangan kognitif.
Belajar melalui kategori, konsep, atau hukum
Bruner mementingkan pembelajaran secara konsep, prinsip, hukum atau kategori.
1- Mengapa konsep atau kategori penting ?
a) Pembelajaran melalui konsep mempunyai kesan jangka panjang dan meningkatkan penghargaan kendiri pelajar.
b) Ia mengurangkan ketegangan kognitif kanak-kanak untuk mengingati objek atau peristiwa yang khusus.
2- Definisi konsep
a) Idea-idea yang spesifik yang mempunyai ciri-ciri yang sama dan khusus. Ia juga boleh diertikan sebagai kategori.
b) Dalam pembelajaran kognitif, pelajar memproses maklumat daripada persekitaran dan pengalamannya.
c) Konsep diperoleh dengan mengkategorikan benda yang sama jenis atau mempunyai pola yang tertentu.
d) Sebagai contoh, pengelasan konsep tumbuh-tumbuhan gurun adalah berdasarkan ciri-ciri seperti berakar panjang, daun berduri, kebolehan tumbuhan menyimpan air dan sebagainya.
e) Bruner mementingkan penggunaan pendekatan induktif, iaitu pelajar diberikan contoh-contoh yang spesifik sebelum membuat definisi konsep.
3. Jenis-jenis konsep
a) Konsep konjungtif
- Konsep konjungtif memerlukan dua atau lebih ciri yang wujud serentak.
- Sebagai contoh, burung mesti mempunyai bulu dan mempunyai sayap sebelum ia boleh terbang.
b) Konsep disjungtif
- Konsep disjungtif memerlukan cirri yang berlainan untuk membezakan sesuatu kategori.
- Ini bermakna burung yang tidak boleh terbang seperti ayam dan penguin tidak dapat dimasukkan dalam kategori di atas.
c) Konsep berkaitan atau berhubungan
- Konsep hubungan mempunyai cirri-ciri yang saling berkaitan.
- Sebagai contoh apabila terdapat jerebu, kualiti udara turun dan orang ramai jatuh sakit. Ini menunjukkan jerebu mempunyai perkaitan dengan indeks kualiti udaran dan kesihatan manusia.
4. Faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukan kategori
a) Set minda
- Pengalaman lampau dan pengetahuan sedia ada tentang persekitaran menolong pelajra mengkategorikan ransangan baru.
- Pelajar mengenali ransangan dan mengkategorikan serta mengklasifikasikan maklumat menurut struktur baru atau yang sudah wujud.
b) Motivasi
- Unsur motivasi sederhana diperlukan untuk membantu pelajar membentuk kod-kod dengan mudah.
- Peringkat ini dikenalpasti sebagai mencari tanda atau isyarat dalam penbentukan kod.
- Tahap motivasi, minat dan penumpuan yang dimiliki oleh pelajar menentukan pembentukan kod-kod dalam konsep.
c) Penguasaan maklumat yang spesifik
- Pelajar perlu membaca dengan luas untuk memperoleh pengetahuan yang banyak dan khusus untuk mengkodkan kategori-kategori dengan mudah.
d) Pengalaman yang pelbagai
- Satu ransangan atau pengalaman yang telah dialami dapat dikodkan
dengan lebih senang.
- Pelajar mesti didedahkan kepada pelbagai pengalaman dalam situasi
pembelajaran dan pengajaran.
-Sebagai contoh, seorang anak nelayan dapat mengkategorikan ciri- ciri ikan tempatan dengan mudah dan cepat.
Kami adalah bertiga daripada Muhammad Aminul Khalil Bin Zaini, Muhammad Amir Al-Hafiz Bin Zulkifli dan Muhamad Ridhuan Bin Ghani. Kami merupakan kolumnis tegar di segenap pojok blog ini. Blog ini dihasilkan bertujuan mengongsi sedikit sebanyak ilmu dan maklumat tentang subjek Murid dan Alam Belajar yang dimuatkan sebagai salah satu kursus wajib seliaan Jabatan Ilmu Pendidikan. Apa yang terhasil di sini adalah apa yang kami rasakan sesuai dan menepati ketetapan yang telah ditetapkan.
PRINSIP
Pengaruh seseorang guru kekal sehingga abadi. Beliau tidak ketahui bila masa pengaruh itu akan tamat.